[ Konklusi ]

+ Maka konklusinya; Jika berita orang itu keluar parti, orang ini tidak setuju dengan orang di situ, orang di sana perlekeh orang begitu dan seterusnya, jadi semuanya menghias dada akhbar, layar kaca kembung mahupun flat. Orang itu sudah masuk tivi, orang ini kena temuramah sana sini, orang di sana sampai ke sini di hujani soalan itu dan ini. Konklusinya, aku fikir mereka sudah mahu masuk mainstream. Tak mahu main underground. Agaknya mahu ikut perkembangan muzik indie. Nanti sudah popular boleh masuk AJL. Ehh, apa aku merepek ini!

+ Maka konklusinya; Baru sahaja enjin hilang. Ya, kata mereka sudah jumpa di luar negara. Maka dua tiga orang awak-awak disuruh mengaku salah. Cumanya, kalau aku nak bekerja di Sabah ini pun kena amik pas bekerja; Macam mana enjin-enjin itu boleh keluar negara dengan tandatangan awak-awak tersebut? Ehh, ada kena mengena ke?

+ Belum habis pasal enjin, tiba-tiba kapal yang patut boleh menyelam tiba-tiba tidak mahu selam? Nak konklusi apa lagi, barang seken hen memang banyak masalah kalau beli! Ehh, kapal tu seken hen ek?

+ Maka konklusinya; Kerajaan kata ekonomi sudah bertambah baik. Ye ye, akhir tahun ini dapat bonus kot. KOT?

+ Chow!

[ Seorang Melayu di Pekan Pitas ] – Episod 3: Diam

+ Aku kira, buat masa kini aku perlu diam tanda setuju. Tidak. Diam tanda ‘saya orang baru. Kalau saya bantah nanti kamu kata saya tunjuk lagak. Mentang-mentang DG41.’

+ Sebenarnya, aku bukan seorang yang suka taat dengan arahan. Sedangkan arahan-arahan yang berprosuder aku boleh elak-elak, bantah-bantah, inikan pula arahan bertentangan dengan prosuder. Cuma, oleh kerana masih baru, aku diamkan dahulu. Mudah-mudahan arahan tersebut digugurkan dengan bantuan orang-orang prosuder nanti.

+ Seorang Guru Pendidikan Khas tidak boleh mengajar aliran perdana atau pun aliran pra-sekolah. Itu prosuder. Walaupun sudah diterangkan, arahan tetap sampai. Agaknya mahu diterangkan dalam Bahasa Arab kot. Maka, berkuatkuasa minggu hadapan, jadual aku terselit 120 minit di Pra-sekolah. Bukan tidak mahu menyampaikan ilmu; Tetapi cara arahan tersebut disampaikan amat mendukacitakan.

+ Ya, kadang-kadang diam itu salah satu cara sunnah disampaikan. Maka biarlah aku berdiam.

+ Chow!

[ Seorang Melayu di Pekan Pitas ] – Episod 2: Comel & comot

+ Mereka comel dan comot. Comel kerana kepetahan dan kenakalan masing-masing. Comot kerana perlu diuruskan dengan rapi dari segi kebersihan dan pengurusan diri. Mereka punya banyak cerita yang mahu dikisahkan. Punya banyak perasaan dan masalah yang perlu diteladani. Maka, guru-guru dan rakan menjadi tempat melepaskan semua yang terbuku. Itulah ringkasnya ruang lingkup kerja aku sekarang.

+ Lebih dua minggu di sini, tenang dan sedikit sibuk. Sibuk melayan kerenah prosuder, anak-anak murid serta pentadbiran. Banyak perkara yang perlu aku adaptasi untuk lebih lama di sini. Itulah ringkasnya kehidupan aku di sini.

+ Chow!

[ Seorang Melayu di Pekan Pitas ] – Episod 1: Memujuk hati

+ Ini coretan pertama setelah bermula 2010. Ini coretan pertama sejak bermula nasib yang tidak dijangka. Ini coretan pertama sesudah menjejakkan kaki di tanah seberang Laut China Selatan yang dikatakan dibawah bayu.

+ Setelah tahu akan ditempatkan di Sabah, kemudian bertugas sebagai Guru Pendidikan Khas; Aku dikejutkan lagi dengan penempatan di Sekolah Rendah. Maka tarikh 6 Januari 2010, aku melapor diri sebagai Guru Pendidikan Islam Khas di Sekolah Kebangsaan Pekan Pitas II, Pitas, Sabah. Sambutan yang sangat meletihkan semasa di Kota Kinabalu dengan penerbangan yang tertangguh hampir sejam di KLIA, kemudian terpaksa membayar sewa bilik di hotel serta pengangkutan ke daerah masing-masing, bukanlah permulaan yang baik di sini. Ya, alasannya tiada peruntukan.

+ Hampir seminggu berada di Pitas, aku masih memujuk hati. Ada lagi sahabat yang lebih tidak bernasib baik. Ada sahabat yang perlu melupakan jawatan DG41 ini kerana bakal terpisah dengan anak. Ada juga yang masih belum menerima apa-apa surat penempatan kerana bukan opsyen Pendidikan Islam. Malah ada juga yang berada lebih jauh di pendalaman dari aku. Maka aku masih memujuk hati. Namun bekerja di bawah mood kurang selesa bukanlah sesuatu yang baik. Cadangan dari beberapa orang di sini masih berlegar-legar dalam perancangan aku. Sedikit masa untuk menyesuaikan diri dan perlu lebih masa untuk membuat tindakan seterusnya.

+ Pekan Pitas; Pekan kecil yang menjadi pusat Daerah Pitas yang besarnya dikatakan lebih besar dari Perlis. Tiada apa yang menarik di sini melainkan kedudukannya yang hampir dengan perkampungan nelayan. Bila fikir-fikir balik, sejak dari dulu aku akan bermastautin di pekan-pekan kecil. Di Shibin el-Kom, Mesir, di Bukit Ibam dan di sini. Mungkin dengan pengalaman dahulu itu memudahkan aku untuk cepat menyesuaikan diri.

+ Menariknya, di sini ada hospital yang lebih besar dari hospital di Lipis tetapi tiada kemudahan bank serta pejabat pos!

+ Chow!

[ Cerita di akhir 2009 ]

+ Seorang sahabat bertanya; “Awak ni relaks je kena posting Sabah, macam tak de perasaan?” Aku tergelak dan sengih.

+ 4 Januari nanti aku bakal berlepas ke negeri bawah bayu itu. Mahu zahirkan perasaan apa ya? Sedih? Mahu sedih kenapa? Gembira? Perlukah gembira meninggalkan bonda lagi? Tidak puas hati? Kenapa mahu marahkan takdir yang sudah ditentukan? Jadi, perasaan apa yang perlu aku zahirkan? Aku kira, menerimanya sebagai ‘turning point’ baru dalam hidup, sudah cukup.

+  Aku belum mampu membayangkan lagi bagaimana perjalanan baru itu. Risiko yang aku bicarakan dulu satu persatu muncul dan ia adalah cabaran untuk dihadapi. Cuma sedikit terkilan dengan penentuan posting ini. Ada sahabat-sahabat yang terpaksa meninggalkan anak, suami kerana dihantar ke seberang sana. Moga-moga Allah permudahkan urusan mereka.

+ 2009 menyimpan beberapa babak memori yang perlu aku gunakan sebagai teladan. Ada yang aku catatkan di sini, ada juga yang aku biarkan berlegar hanya di memori. Ramai sahabat lama sudah berhubung semula; Ramai juga sahabat baru memulakan perhubungan. Ya, hidup ini amat indah jika persahabatan itu terus dimanafaatkan.

+ Cuma, jika ditanya tentang ‘bujang’, maka jawapan tahun depan sama dengan tahun ini :)

+ Jumpa di Sabah ya! Chow!

[ Jika aku ditanya tentang Nur Kasih ]

+ Seorang sahabat di Facebook meninggalkan statusnya begini; ‘Apa kata kalian jika saya kata drama Nur Kasih memperlekeh hukum agama?’ Lalu jika ditanya tentang drama tersebut aku akan jawab begini; Kenapa drama dakwah disempitkan temanya? Adakah sangat penting dakwah yang bertemakan kisah cinta melentuk liuk, kasih-kasihan suami isteri atau pergolakan poligami?

+ Memang tema cinta menjadi tarikan utama untuk menarik minat penonton. Tidak kira drama, novel atau lagu, semuanya menjadikan tema cinta sebagai medium untuk menarik minat penonton, pembaca atau pendengar. Maka drama dakwah juga menjadikan cinta sebagai temanya untuk menarik minat penonton. Sememangnya strategi tersebut menjayakan drama tersebut. Cuma, pengakhiran yang mana diterima oleh penonton dari drama itu? Cintanya atau dakwahnya? Peminat drama itu pasti ada jawapannya.

+ Aku seorang anti cinta lentuk liuk. Maka pendapat aku lebih menjurus ke arah negetif untuk mengulas drama ini. Tambahan dengan pelbagai hukum syarak yang dilanggar dalam pembikinan drama tersebut, layakkah di gelar drama dakwah? Mungkin ada yang akan mengatakan perkara tersebut tidak boleh dielakkan; Maka aku bertanya semula; Tidak pernah tengokkah atlet lumba lari yang memenangi pingat dalam sebuah temasya sukan menutup aurat lengkap? Semuanya mungkin jika kita benar-benar mahu mengikut hukum syarak.

+ Bagi aku, mahu tonton tiada salah, cuma tidak perlu mengagungkan sangat seperti ia sesuatu yang sangat istimewa. Banyak lagi drama-drama dakwah yang boleh dipuji dari segi tema dan hukum-hakam yang diraikan.

+ Jika aku ditanya tentang Nur Kasih, maka aku akan jawab; Ia hanya sekadar drama cinta yang diselitkan dakwah.

+ Chow!

[ Dua Belas Minggu ] – Episod 10: Selepas itu.

+ Memang sudah lebih 3 minggu meninggalkan Kuala Lumpur. Sepanjang tempoh itu aku terawang-awang dalam dunia ‘orang tidak bekerja’. Beberapa perkara yang berlaku sepanjang tempoh itu dan akhirnya aku tersandar di depan laptop ini dalam suasana hujan tanpa henti di Beserah, Kuantan.

+ Semalam; Ikut Rodi ke Kuala Lumpur kemudian menyinggah sebentar ke Setapak, rumah Apit. Ada sesuatu yang kurang ceria tentang dia sejak kali terakhir aku jumpa awal 2009 lalu. Bersembang sepanjang petang itu, Apit cerita kegagalan yang dia hadapi. Ya, dia memang suka mengambil risiko. Dia orang berniaga. Maka pengalaman itu untuk dia dan kawan-kawan yang dengar ceritanya. Akhir sekali katanya, “Kalau aku jenis tak sembahyang, baca Qur’an, agaknya dah gila dah aku sekarang ni.” Ujian Allah untuk mereka yang patut dan tepat untuk diuji.

+ Cerita orang berniaga memang gerun. Lebih-lebih jenis yang suka labur-labur, ambil risiko. Memang aku tahu tentang kelebihan berniaga dari Hadith Rasulullah, cuma aku tidak sekuat itu untuk menanggung risiko tersebut. Memilih kerja makan gaji memang tidak sepuas bekerja sendiri. Namun, dalam dunia yang bergerak setapak dengan sen ini, apa-apa boleh jadi.

+ Chow!

  • [ Taqwim ]

    Julai 2017
    I S R K J S A
    « Jul    
     12
    3456789
    10111213141516
    17181920212223
    24252627282930
    31  
  • [ Cuba lihat dari bawah tapak kaki ]

    "Jika kau rasa pilihan kau tidak tepat, sebenarnya kau salah lihat. Setiap pilihan pasti ada risiko; Cara kau mengatasi risiko menentukan tepat atau tidak pilihan itu."

    + Mula berblog pada Mac 2004

    + Blog ini bermula Oktober 2008