[ Seorang Melayu di Pekan Pitas ] – Episod 6: Labuan, reached. Next destination?

+ Orang kata; Jauh perjalanan, luas permandangan. Ya, 2 hari lepas memang sungguh luas permandangan aku. Pertama, luas melihat hutan di kiri kanan jalan. Bak kata seorang kawan; “Banyak tanah kosong lagi yang boleh diusahakan. Masjid agak susah nak jumpa.” Kedua, luas saujana memandang lautan terbentang dari atas feri. Perjalanan menjejak tanah kepunyaan Malaysia, Labuan.

Feri Wawasan Perdana: Menumbuk - Labuan

Labuan ahead!

Aras 3, Feri Wawasan Perdana

Sebahagian dari ahli rombongan

+ Hanya sempat ambil gambar di atas feri. Itu pun sebab tak tahu nak buat apa dalam masa 1 jam 40 minit pelayaran. Gambar-gambar lain kamu boleh lihat di sini.

+ Chow!

Advertisements

[ Seorang Melayu di Pekan Pitas ] – Episod 5: 6 bulan

+ Aku bukan kira tempoh mengandung si isteri. Lagipun memang belum ada isteri. Ya, blog ini sangat berhabuk. Hampir 3 bulan tidak menambah apa-apa cerita, coretan mahupun kutukan dalam blog. Senang cerita, aku malas. :D

+  6 bulan cuba untuk menyesuaikan diri. Alhamdulillah, ada perkara yang boleh dihadam, ada juga aku biarkan ditepi. Lantaklah dia kat tepi tu. Konklusinya, 6 bulan yang lalu malas jadi teman rapat. He he he.

+ Sempat pulang ke kampung 3 minggu, banyak cerita, berita dan peristiwa. Paling popular, cerita kahwin. Makin lama makin kurang yang berstatus bujang dalam ‘liga’ kawan-kawan aku. Malah ada yang sudah masuk ‘liga’ lain; ‘Liga Bung Mokhtar’. Bak kata kawan-kawan yang tahu; “Biarlah, asalkan dia bahagia.” Aku bukan anti poligami, cuma adakah berbaloi menderhakai orang tua?

+ Aku banyak ketinggalan berita-berita semasa. Malas baca surat khabar, malas dengar berita. Tahu-tahu, semalam 40 ‘ulamak muda’ masuk UMNO. Biarlah 40 orang berjanggut dan berketayap putih itu masuk UMNO dan kemudian dapat gelaran ‘ulamak muda’. Sekurang-kurang di Malaysia ini sudah bertambah lagi 40 orang ‘ulamak’kan?

+ Owh, saya tidak berpolitik di blog apatah lagi di masjid. Dapat tulah nanti. Saya cuma mengulas laporan akhbar sahaja :)

+ Chow!

+

[ Seorang Melayu di Pekan Pitas ] – Episod 4: Sampai atau beri

+ Penafian (Disclaimer): Aku bukan malas tulis, tapi tulisan itu yang tak mahu ditulis. Ha ha ha

+ Menyampaikan sesuatu bermaksud satu usaha untuk membawa sesuatu perkara kepada orang yang memerlukan sesuatu itu. Manakala memberikan sesuatu pula bermaksud satu usaha untuk memenuhi kehendak orang yang memerlukan sesuatu itu. Jadi, dua kata kerja itu dalam kamus pembendaharaan kata aku sangat berlainan.

+ Jadi, persoalan aku kini, dasar pendidikan kita menggunakan kata kerja yang mana? Sampai atau beri?

+ Melihat beberapa orang rakan yang sekian minggu berulang ke sekolah mereka di pendalaman dengan pelbagai rintangan yang perlu diredah selama beberapa jam, kemudian melihat sendiri kedaifan sekolah yang jaraknya tidak jauh dari sekolah aku menerbitkan persoalan tersebut. Adakah pendidikan hanya perlu disampaikan? Bila sudah sampai, adakah itu tamat sehingga di situ?

+ Pengalaman 2 tahun di tenggara Pahang juga menguatkan lagi persoalan tersebut. Daerah yang mempunyai populasi Orang Asli yang ramai tetapi tetap menerima pendidikan yang lebih sempurna dari sini. Begitu juga di daerah sendiri di sempadan Kelantan sana. Asrama pusat didirikan untuk anak-anak asli yang berkampung jauh di rimba hijau sana.

+ Maka aku lihat ada pertembungan dasar di sana dan di sini. Apakah halangan yang timbul untuk mewujudkan pendidikan berpusat di sini seperti di Semenanjung sana? Ya, pendidikan sememangnya perlu disampaikan, tetapi bukankah lebih baik ia diberikan dalam keadaan yang sempurna?

+ Chow!

[ Seorang Melayu di Pekan Pitas ] – Episod 3: Diam

+ Aku kira, buat masa kini aku perlu diam tanda setuju. Tidak. Diam tanda ‘saya orang baru. Kalau saya bantah nanti kamu kata saya tunjuk lagak. Mentang-mentang DG41.’

+ Sebenarnya, aku bukan seorang yang suka taat dengan arahan. Sedangkan arahan-arahan yang berprosuder aku boleh elak-elak, bantah-bantah, inikan pula arahan bertentangan dengan prosuder. Cuma, oleh kerana masih baru, aku diamkan dahulu. Mudah-mudahan arahan tersebut digugurkan dengan bantuan orang-orang prosuder nanti.

+ Seorang Guru Pendidikan Khas tidak boleh mengajar aliran perdana atau pun aliran pra-sekolah. Itu prosuder. Walaupun sudah diterangkan, arahan tetap sampai. Agaknya mahu diterangkan dalam Bahasa Arab kot. Maka, berkuatkuasa minggu hadapan, jadual aku terselit 120 minit di Pra-sekolah. Bukan tidak mahu menyampaikan ilmu; Tetapi cara arahan tersebut disampaikan amat mendukacitakan.

+ Ya, kadang-kadang diam itu salah satu cara sunnah disampaikan. Maka biarlah aku berdiam.

+ Chow!

[ Seorang Melayu di Pekan Pitas ] – Episod 2: Comel & comot

+ Mereka comel dan comot. Comel kerana kepetahan dan kenakalan masing-masing. Comot kerana perlu diuruskan dengan rapi dari segi kebersihan dan pengurusan diri. Mereka punya banyak cerita yang mahu dikisahkan. Punya banyak perasaan dan masalah yang perlu diteladani. Maka, guru-guru dan rakan menjadi tempat melepaskan semua yang terbuku. Itulah ringkasnya ruang lingkup kerja aku sekarang.

+ Lebih dua minggu di sini, tenang dan sedikit sibuk. Sibuk melayan kerenah prosuder, anak-anak murid serta pentadbiran. Banyak perkara yang perlu aku adaptasi untuk lebih lama di sini. Itulah ringkasnya kehidupan aku di sini.

+ Chow!

[ Seorang Melayu di Pekan Pitas ] – Episod 1: Memujuk hati

+ Ini coretan pertama setelah bermula 2010. Ini coretan pertama sejak bermula nasib yang tidak dijangka. Ini coretan pertama sesudah menjejakkan kaki di tanah seberang Laut China Selatan yang dikatakan dibawah bayu.

+ Setelah tahu akan ditempatkan di Sabah, kemudian bertugas sebagai Guru Pendidikan Khas; Aku dikejutkan lagi dengan penempatan di Sekolah Rendah. Maka tarikh 6 Januari 2010, aku melapor diri sebagai Guru Pendidikan Islam Khas di Sekolah Kebangsaan Pekan Pitas II, Pitas, Sabah. Sambutan yang sangat meletihkan semasa di Kota Kinabalu dengan penerbangan yang tertangguh hampir sejam di KLIA, kemudian terpaksa membayar sewa bilik di hotel serta pengangkutan ke daerah masing-masing, bukanlah permulaan yang baik di sini. Ya, alasannya tiada peruntukan.

+ Hampir seminggu berada di Pitas, aku masih memujuk hati. Ada lagi sahabat yang lebih tidak bernasib baik. Ada sahabat yang perlu melupakan jawatan DG41 ini kerana bakal terpisah dengan anak. Ada juga yang masih belum menerima apa-apa surat penempatan kerana bukan opsyen Pendidikan Islam. Malah ada juga yang berada lebih jauh di pendalaman dari aku. Maka aku masih memujuk hati. Namun bekerja di bawah mood kurang selesa bukanlah sesuatu yang baik. Cadangan dari beberapa orang di sini masih berlegar-legar dalam perancangan aku. Sedikit masa untuk menyesuaikan diri dan perlu lebih masa untuk membuat tindakan seterusnya.

+ Pekan Pitas; Pekan kecil yang menjadi pusat Daerah Pitas yang besarnya dikatakan lebih besar dari Perlis. Tiada apa yang menarik di sini melainkan kedudukannya yang hampir dengan perkampungan nelayan. Bila fikir-fikir balik, sejak dari dulu aku akan bermastautin di pekan-pekan kecil. Di Shibin el-Kom, Mesir, di Bukit Ibam dan di sini. Mungkin dengan pengalaman dahulu itu memudahkan aku untuk cepat menyesuaikan diri.

+ Menariknya, di sini ada hospital yang lebih besar dari hospital di Lipis tetapi tiada kemudahan bank serta pejabat pos!

+ Chow!

  • [ Taqwim ]

    November 2017
    I S R K J S A
    « Jul    
     12345
    6789101112
    13141516171819
    20212223242526
    27282930  
  • [ Cuba lihat dari bawah tapak kaki ]

    "Jika kau rasa pilihan kau tidak tepat, sebenarnya kau salah lihat. Setiap pilihan pasti ada risiko; Cara kau mengatasi risiko menentukan tepat atau tidak pilihan itu."

    + Mula berblog pada Mac 2004

    + Blog ini bermula Oktober 2008