[ Politik itu Islam ]

+ Politik itu Islam, bukan Islam itu politik. Politik itu perlu berada di bawah Islam. Jadi segala akiviti, usaha, tujuan dan objektif semuanya perlu berlandaskan ‘meraikan kemaslahatan umum dan mengelak kemudharatan.’ Itu yang aku belajar. Cuma ketika ini, aku lihat sudah ada ‘orang politik berlebelkan Islam’ ini sudah lupa tentang tujuan itu.

+ Tidak kira dari apa parti, jika tercetus satu isu berkaitan Islam atau keagamaan, pasti muncul ‘wira yang minta dinyanyikan’ memperjuangkan isu tersebut. Itu belum lagi ‘orang agama’ yang mempolitikkan dirinya. Menggunakan ilmu yang dia ada (jika betul ada) untuk mengelirukan orang ramai tentang apa itu politik Islam.

+ Sejarah Islam selepas Rasulullah jika diteliti dari segi politiknya amat menyedihkan. Maka, salahkah aku jika menyatakan politik boleh meruntuhkan Islam?

Advertisements

[ 40 tahun ]

+ Aku percaya, penentuan umur Muhammad diangkat menjadi Rasulullah pada usia 40 tahun itu bukan semata menunjukkan kematangan Baginda. Bukan juga semata angka itu dikata penentuan hidup seterusnya, jika baik maka baiklah diakhirnya, jika sebaliknya maka sebaliknya. Aku yakin, dalam usia 40 itu, peribadi Rasulullah sangat dikagumi oleh seluruh penduduk Mekah. Maka dengan peribadi tersebut, dengan kepercayaan yang dibina selama 40 tahun itulah, maka Allah perintahkan Jibrail menurunkan wahyu.

+ Tiada manusia yang sihat akalnya, yang tiada berkepentingan disekitarnya akan mendustakan seruan Baginda waktu itu. Kerana mereka kenal Muhammad Bin Abdullah lebih dari anak-anak mereka. Mereka yang menggelarkan Baginda al-Amin. Mereka yang mengiktiraf Baginda sebagai penyelesai masalah Hajarul Aswad. Mereka juga terpegun dengan kecekapan Baginda berniaga membawa keuntungan besar kepada Siti Khadijah walaupun tanpa riba’.

+ Maka, kepercayaan 40 tahun tersebut diuji di Bukit Safa. Biarlah Baginda di maki oleh Abu Lahab, biarlah Baginda diejek sebagai gila, namun apa yang pasti soalan pertama Baginda, “Percayakah kamu jika aku kata dibelakang bukit itu ada seekor unta?” dijawab dengan kepercayaan jitu mereka terhadap Baginda.  Jadi, bukan Baginda yang tidak dipercayai, bukan risalah Allah itu yang dicemuh, tetapi penduduk Mekah takut untuk mengakui bahawa apa yang mereka amalkan itu salah, mereka takut akan hilang segala kekayaan mereka jika mengakui kebenaran Baginda.

+ 13 tahun pula mengukuhkan kepercayaan kepada sesuatu yang tiada di mata. Percaya tentang Tuhan yang Maha Berkuasa, percaya tentang hari yang bakal melagakan bulan dan matahari, percaya tentang kehidupan selepas mati. Walaupun tidak ramai yang percaya, namun kualiti umat awal yang dibina oleh Baginda adalah paling gemilang. Segalanya bermula dengan 40 tahun terdahulu itu.

+ Selawat dan salam ke atas Baginda. Sirah yang ada bukan untuk dimegah. Bukan untuk diulang cerita. Bukan juga untuk mengatakan kita pernah berjaya. Tetapi untuk menjadi cermin pandang belakang agar kita boleh kehadapan dengan selamat.

+ Chow!

[ Aku Sokong ]

+ Oleh sebab aku belum dapat gaji lagi, aku perlu sokong apa-apa usaha yang kerajaan buat sebab aku kakitangan kerajaan. Jadi, 1Malaysia itu aku sokong. Kita kena sokong sebab kerajaan kata ekonomi sudah semakin kukuh. Maka 1Malaysia akan merasa nikmat kekukuhan ekonomi tersebut sikit masa lagi. Mana boleh kerajaan bagi-bagi. Kalau Polis naik gaji, esok lusa mesti cikgu naik gaji. Lusa tulat agaknya kerani-kerana pun naik gaji. 1Malaysia naik gaji. Sebab itu aku sokong.

+ Aku sokong juga bila kerajaan mahu laksana hukuman rotan syariah. Mana boleh tak sokong. Orang Islam minum arak kena rotan, orang berzina kena rotan. Bagus la tu. Siapa tak sokong maknanya dia suka duduk penjara dari kena rotan lepas tu boleh balik rumah insafkan diri. Kerajaan marah Penang tak buat perarakan Maulid Nabi pun aku sokong. Apa la tak buat jalan-jalan keliling kampung sambil selawat banyak pahala berselawat tu. Badan pun sihat. Biarlah negeri aku sendiri pun tak buat. Agaknya orang-orang negeri aku dah letih buat tahun-tahun sudah. Tahun ni rehat dulu. Tahun depan buat lagi. Apa-apa hal aku tetap sokong kerajaan yang suruh buat perarakan Maulid Nabi.

+ Aku pun sokong juga kerajaan kata Anwar liwat Saiful. Ehh … kerajaan kata ya? Bukan Saiful yang kata?

+ Chow!

[ Hukuman ]

+ Dulu orang marah cikgu-cikgu sebab rotan murid. Kata mereka zaman sekarang kena pakai psikologi nak bagi bebudak baik, dengar kata dan cemerlang belajar. Maka guru-guru pun kena belaja psikologi. Ada kaunselor khas ditempatkan bagi setiap sekolah. Zaman aku sekolah dulu, mana kenal apa benda yang dipanggil kanselor pun. Asal salah sikit, tak payah jumpa cikgu disiplin, masa tu jugak kena tibai. Maka didikan ‘ketinggalan zaman’ itu yang jadikan aku dan orang-orang macam aku jadi orang. Aku kira begitu.

+ Sekarang letaklah kaunselor ke, guru disiplin 8 orang ke, bebudak makin pelik perangai. Aku bukan mahu cerita perangai bebudak sekolah sekarang. Kalau nak tahu, sila jadi cikgu. Cikgu sekolah memandu pun boleh. Sebab bebudak sekolah memandu akan jadi sangat baik bila belaja memandu, semua ikut, semua patuh. Bila dah dapat lesen, korang cuba kira berapa orang yang mati ops sikap kali ini?

+ Jadi, kalau lah korang jadi ibu bapa, agak-agak apa hukuman paling berperikemanusiaan bagi anak-anak korang yang buat salah, macam merokok ke, isap dadah ke, berzina ke atau kesalahan kesalahan lain?

a) Tangkap, letak dalam penjara.

b) Maki hamun

c) Sepak terajang

d) Tak mengaku anak

e) Bagi kaunseling – hantar pusat pemulihan (lepas korang kira berapa orang penagih yang masuk balik)

f) Rotan.

+ Kalau nak sembang pasal cara hukuman rotan ikut Islam, mungkin orang yang sangat-sangat mengaku Islam tak nak dengar sebab dorang dah Islam macam Sister in Islam. Jadi korang fikir la sendiri.

+ Chow!

[ Konklusi ]

+ Maka konklusinya; Jika berita orang itu keluar parti, orang ini tidak setuju dengan orang di situ, orang di sana perlekeh orang begitu dan seterusnya, jadi semuanya menghias dada akhbar, layar kaca kembung mahupun flat. Orang itu sudah masuk tivi, orang ini kena temuramah sana sini, orang di sana sampai ke sini di hujani soalan itu dan ini. Konklusinya, aku fikir mereka sudah mahu masuk mainstream. Tak mahu main underground. Agaknya mahu ikut perkembangan muzik indie. Nanti sudah popular boleh masuk AJL. Ehh, apa aku merepek ini!

+ Maka konklusinya; Baru sahaja enjin hilang. Ya, kata mereka sudah jumpa di luar negara. Maka dua tiga orang awak-awak disuruh mengaku salah. Cumanya, kalau aku nak bekerja di Sabah ini pun kena amik pas bekerja; Macam mana enjin-enjin itu boleh keluar negara dengan tandatangan awak-awak tersebut? Ehh, ada kena mengena ke?

+ Belum habis pasal enjin, tiba-tiba kapal yang patut boleh menyelam tiba-tiba tidak mahu selam? Nak konklusi apa lagi, barang seken hen memang banyak masalah kalau beli! Ehh, kapal tu seken hen ek?

+ Maka konklusinya; Kerajaan kata ekonomi sudah bertambah baik. Ye ye, akhir tahun ini dapat bonus kot. KOT?

+ Chow!

[ Jika aku ditanya tentang Nur Kasih ]

+ Seorang sahabat di Facebook meninggalkan statusnya begini; ‘Apa kata kalian jika saya kata drama Nur Kasih memperlekeh hukum agama?’ Lalu jika ditanya tentang drama tersebut aku akan jawab begini; Kenapa drama dakwah disempitkan temanya? Adakah sangat penting dakwah yang bertemakan kisah cinta melentuk liuk, kasih-kasihan suami isteri atau pergolakan poligami?

+ Memang tema cinta menjadi tarikan utama untuk menarik minat penonton. Tidak kira drama, novel atau lagu, semuanya menjadikan tema cinta sebagai medium untuk menarik minat penonton, pembaca atau pendengar. Maka drama dakwah juga menjadikan cinta sebagai temanya untuk menarik minat penonton. Sememangnya strategi tersebut menjayakan drama tersebut. Cuma, pengakhiran yang mana diterima oleh penonton dari drama itu? Cintanya atau dakwahnya? Peminat drama itu pasti ada jawapannya.

+ Aku seorang anti cinta lentuk liuk. Maka pendapat aku lebih menjurus ke arah negetif untuk mengulas drama ini. Tambahan dengan pelbagai hukum syarak yang dilanggar dalam pembikinan drama tersebut, layakkah di gelar drama dakwah? Mungkin ada yang akan mengatakan perkara tersebut tidak boleh dielakkan; Maka aku bertanya semula; Tidak pernah tengokkah atlet lumba lari yang memenangi pingat dalam sebuah temasya sukan menutup aurat lengkap? Semuanya mungkin jika kita benar-benar mahu mengikut hukum syarak.

+ Bagi aku, mahu tonton tiada salah, cuma tidak perlu mengagungkan sangat seperti ia sesuatu yang sangat istimewa. Banyak lagi drama-drama dakwah yang boleh dipuji dari segi tema dan hukum-hakam yang diraikan.

+ Jika aku ditanya tentang Nur Kasih, maka aku akan jawab; Ia hanya sekadar drama cinta yang diselitkan dakwah.

+ Chow!

[ Bahasa di papan tanda ]

+ Jika bahasa di papan tanda akan cuba dimelayukan keseluruhannya, bagaimana pula dengan nama-nama yang menunjukkan ‘1Malaysia’? Seperti Batu Caves. Agak-agak nak saman siapa ya?

+ Pada dasarnya usaha untuk mengembalikan Bahasa Melayu di papan tanda adalah satu usaha yang murni. Setelah lebih separuh abad merdeka, kepincangan ini mula diberi perhatian. Ya, macam kata orang; Jika tidak dimulakan bagaimana mahu berlangsungkan? Soal bagaimana itu biarlah mereka yang berkuasa menentukan. Mungkin satu hari nanti kita bakal melihat kompleks-kompleks besar bertukar nama kepada ‘Satu Utama’, ‘Berjaya Pasaraya Mega’ dan sebagainya.

+ Cuma mungkin perlu diingatkan semula, kadang-kadang memelayukan perkataan Inggeris perlu dikaji dan diteliti dengan lebih baik. Jika sudah ada perkataan di dalam Bahasa Melayu, kenapa perlu mencari perkataan dari Bahasa Inggeris? Bukankah lebih sopan digunakan belanjawan daripada bajetkan?

+ Aku bukan ahli bahasa, dan bukan juga mahir sangat berbahasa. Cuma apa yang ada pada Melayu jika bahasanya menjadi rojak dengan kemasukkan bahasa asing tanpa had?

+ Chow!

  • [ Taqwim ]

    November 2017
    I S R K J S A
    « Jul    
     12345
    6789101112
    13141516171819
    20212223242526
    27282930  
  • [ Cuba lihat dari bawah tapak kaki ]

    "Jika kau rasa pilihan kau tidak tepat, sebenarnya kau salah lihat. Setiap pilihan pasti ada risiko; Cara kau mengatasi risiko menentukan tepat atau tidak pilihan itu."

    + Mula berblog pada Mac 2004

    + Blog ini bermula Oktober 2008